Muka Anwar tak cerah, sudah tiada modal - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Muka Anwar tak cerah, sudah tiada modal – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Kampung Jawa, Lenga, Pagoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tiada modal kerana berterusan mencabar beliau mendedahkan penyata akaun parti itu pada tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas Presiden Bersatu itu, pihaknya tidak pernah terkecuali daripada membentangkan penyata itu secara tahunan sebagaimana dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selain turut boleh diakses sesiapa sahaja.

“Kita mesti patuh kepada undang-undang, setiap parti mesti ada perhimpunan agung yang mana antara lain ialah membentangkan penyata tahunan. Perkara itu boleh dilihat oleh sesiapa pun kerana ia sudah diaudit. Tetapi tak tahulah kalau PKR tak audit, saya audit betul apa perbelanjaan, satu sen, dua sen, RM100, RM200.

“Jadi, saya fikir apa sebab Anwar nak mencabar sehinggakan soal sebegini nak jadi isu? Dia tak ada modal lain? Macam kita ini buat tak betul tak teratur, sudah sah dihantar kepada RoS, setakat hari ini tidak ada kenyataan RoS mengatakan bahawa laporan tahunan parti saya ini tak sah, ada di situ boleh lihat,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Kampung Jawa, Lenga, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menyatakan kesediaan untuk mendedahkan penyata akaun partinya, dengan syarat Muhyiddin turut melakukan perkara sama.

Ia susulan cabaran dibuat Muhyiddin terhadap Anwar, supaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan penyata kewangan partinya, setelah menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.

Ditanya mengenai serangan PH kepada PN bertalu-talu sejak kebelakangan ini, Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata, Anwar mungkin sudah goyah dengan sokongan pengundi kepada gabungan parti mereka.

“Saya tahu Anwar sudah cukup bimbang. Muka dia tak cerah sekarang, sedih sahaja. Mungkin dia fikir nak jadi PM, manalah tahu. Bagi saya ini soal persaingan dalam sistem demokrasi, ada orang suka ada orang tak suka, itu biasalah. Anwar kata saya bapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), faham ke dia masalah PKP? Cuba Anwar fikir kalau negara ini sewaktu Covid-19 saya tak buat PKP, apa jadi?

“Dia patut bersyukur dia masih hidup, anak, isteri hidup, semua sihat. Tapi nak persoal kata saya bapa itu, bapa ini, tak mengapalah. Mungkin dia sudah tertekan bila dia tengok trend mutakhir ini menjurus kepada PN anak-anak muda dan orang ramai.

“Saya pun bila lihat kenapa Anwar pergi ke Bagan Datuk (Selasa) di mana kawasan yang dia tahu hadapi Zahid Hamidi (Presiden UMNO), dia tak sentuh langsung (serang Zahid). Jadi, apakah pandangan setengah pihak seolah-olah wujud bentuk persefahaman atau kerjasama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya