Muhyiddin bidas dakwaan Bersatu-Pas kahwin mutaah

Muhyiddin bidas dakwaan Bersatu-Pas kahwin mutaah

MUHYIDDIN Yassin menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tuduhan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sebagai perkahwinan mutaah (sementara).

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, gabungan Barisan Nasional (BN) yang melalui proses ‘mufarakah’ (berpisah) sejak kekalahan mereka pada 2018.

“BN pun kahwin kontrak juga, tapi selepas dia kalah dia sudah berpisah. Jangan main-main, kita punya jalinan kerjasama cukup rapat sebab Pas dan Bersatu adalah pengasas PN, Gerakan dan lain-lain sertai kemudian.

“Pas dan Bersatu merupakan pengasas, ini bukan mutaah. Daripada segi politik hubungan kami cukup baik, mereka (UMNO) kata begitu mungkin kerana bimbang sokongan kita cukup kuat.

“Sebaliknya BN yang mutaah, kemudian sudah mufarakah (berpisah) pula, dahulu 14 (parti komponen) kini hanya tinggal tiga sahaja (UMNO, MCA, MIC),” katanya selepas menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir yang Menteri Pembangunan Luar Bandar mendakwa gabungan Pas dan Bersatu sebagai perkahwinan mutaah kerana kepimpinan kedua-dua parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga calon PN di Parlimen Pagoh turut mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa PN merupakan gabungan parti politik yang paling kaya ketika ini.

Beliau meminta Presiden PKR itu mengemukakan bukti atas dakwaan yang dibuat dan bukan sekadar menabur fitnah semata-mata.

“Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya, kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar Ibrahim boleh tunjukkan tak, kalau dia ada bukti tunjukkan, jika tiada bermakna dia pembohong dan pengundi jangan percaya.

“Sebaliknya, kita merupakan sebuah parti baharu, kita tidak mempunyai sumber yang besar, kami bergantung kepada orang yang mahu membantu perjuangan kami, itu sahaja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN