SHAH ALAM: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang giat memberikan kesedaran kepada kesemua pelajar untuk balik kampung mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Naib Yang Dipertuanya, Raudhatus Syamimi Harun berkata, kuasa dan hak mengundi sewajarnya tidak disia-siakan generasi muda yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
“Bagi pihak MPP, kami sentiasa proaktif dalam memastikan pengundi muda di UiTM komited untuk balik mengundi pada hari mengundi kurang dua minggu dari sekarang.
“Kami akan cuba memperbanyakkan hantaran melalui akaun media sosial peribadi kami dan juga akaun media sosial rasmi MPP UiTM Shah Alam tentang apakah kepentingan mereka mengundi pada PRU15,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini media melaporkan UiTM menjadi institusi pengajian tinggi yang mempunyai bilangan pengundi muda 18 dan 20 tahun paling ramai iaitu 185,400 orang atau mewakili 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda 1.2 juta orang di seluruh negara.
Jumlah pelajar tersebut membabitkan di semua 35 cawangan UiTM di seluruh negara, manakala kakitangannya seramai 18,347.
Raudhatus Syamimi berkata, melalui aplikasi media sosial pelajar-pelajar UiTM dibekalkan maklumat cara semakan tempat mengundi, semakan calon dan apa persediaan yang perlu diambil sebelum memilih calon yang akan kita undi. – UTUSAN