Mohd. Ridhwan tak tumpang populariti Ali Rustam - Utusan Malaysia

Mohd. Ridhwan tak tumpang populariti Ali Rustam

MOHD. Ridhwan Mohd. Ali membawa harapan besar Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali tidak mahu dibayangi populariti bapanya selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Yang Dipertua Negeri, dalam memenangi hati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sejak Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam tewas di Parlimen itu pada PRU13 dan PRU14, bapanya terus berkhidmat kepada rakyat walaupun ketika itu Hang Tuah Jaya dikuasai pembangkang.

Tegasnya, selepas nama diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, beliau berjanji akan mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada BN.

“Soal kalah atau menang itu tidak penting, paling utama saya berjuang untuk kemenangan parti dan tidak gentar menjadi calon di kerusi yang dianggap panas, sebab BN pernah tewas dua kali.

“PRU15 ini saya anggap adalah penentuan jatuh bangun parti dan untuk kita membawa mandat rakyat bagi memastikan kestabilan politik dapat dibentuk.

“Saya ada kapasiti sendiri dan tidak dibayangi oleh orang tua saya, kerana sejak BN tewas pada 2018 saya dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya. Dari situ saya mula membina kekuatan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Bukit Katil di sini hari ini.

Parlimen Hang Tuah Jaya antara kerusi panas pada PRU15 di Melaka menyaksikan persaingan antara Mohd. Ridhwan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd. Halim dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris.

Pada PRU14, kerusi tersebut dimenangi calon PH, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang menewaskan Mohd. Ali dan calon Pas, Dr. Khalid Kassim dengan majoriti 5,447 undian.

Dalam pada itu, mengenai pemilihannya sebagai calon, Mohd. Ridhwan berkata, beliau hanya mengetahui keputusan itu pada saat-saat akhir iaitu kira-kira satu jam sebelum pengumuman dilakukan.

Terdahulu, wujud desas-desus bahawa nama Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Massila Kamalrudin bakal dipertaruhkan BN di kerusi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya