Mohd. Azizi terkejut 'tumbangkan' gergasi politik di Gua Musang - Utusan Malaysia

Mohd. Azizi terkejut ‘tumbangkan’ gergasi politik di Gua Musang

MOHD. Azizi Abu Naim (tengah) meraikan kemenangannya di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan semalam. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Mohd. Azizi Abu Naim yang diumum menang kerusi Parlimen Gua Musang mengakui terkejut selepas berjaya menumbangkan wakil Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama 10 penggal pada Pilihan Umum Ke-15 (PRU15).

Mohd. Azizi yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gua Musang berkata, kemenangan itu sememangnya di luar jangkaan memandangkan Ku Li merupakan tokoh yang amat disegani selain kawasan berkenaan kubu kuat BN.

“Pada peringkat awal kita akui satu misi yang sukar kerana berdepan tokoh disegani di Gua Musang, namun selepas separuh daripada tempoh berkempen kita nampak ada sambutan baik daripada warga Gua Musang yang menunjukkan sikap untuk memihak kepada kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd. Azizi memberitahu, dia turut merakamkan penghargaan kepada jentera Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang bekerja keras bagi mencipta kemenangan berkenaan.

Katanya, dia bersyukur apabila menyumbang kemenangan untuk Pas dan PN di peringkat tertinggi dalam usaha membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Gua Musang yang memberi undian kepada saya. Insya-Allah akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ku Li gagal mempertahan kawasan itu apabila kalah kepada muka baharu yang ditampilkan oleh Pas pada PRU15. Beliau tewas dengan majoriti tipis kepada calon Pas, Mohd. Azizi Abu Naim iaitu sebanyak 163 undi. Mohd. Azizi memperoleh undian sebanyak 21,826.

Ku Li yang juga Ketua UMNO Gua Musang hanya mendapat undi 21,663. Sementara itu, calon Asharun Uji (Pakatan Harapan) sebanyak 4,517 undi dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) dengan 371 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya