KUALA NERUS: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menempelak parti Pas yang didakwa memainkan isu perkauman sebagai modal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sentimen tersebut dilihat dibangkitkan bagi menarik pengundi Melayu sedangkan isu berkenaan sudah tidak relevan lagi.
Kata beliau, parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu cuba menakut-nakutkan rakyat dengan isu lapuk sekiranya PH mengulangi kemenangan PRU14, empat tahun lalu.
“Kita lihat sekarang ini Pas yang teruk memainkan peranan membawa sentimen perkauman ini, UMNO dah lemah, kurang sikit. Hujah mereka (Pas) adalah kalau Melayu ‘curi’ (rasuah) tak apa sebab dia Melayu, kalau kaum Cina naik (berkuasa), apa nak jadi pada kita (Melayu), itu saja modal mereka.
“Sedangkan di Pulau Pinang, kita yakin menang selesa PRU15 kerana isu itu tak laku di sana dan rakyat negeri itu nampak kerajaan negeri deliver dengan pelbagai peruntukan dalam hal ehwal Islam. Jika PH tidak lawan dengan fakta, memang sentimen perkauman itu menjadi dan mempengaruhi pengundi Melayu,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PH di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan optimis pengundi di Kelantan dan Terengganu semakin menerima PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jentera PH pada PRU15 di dua negeri itu dilihat mampu membantu calon mereka di kerusi Parlimen membuat kejutan meskipun Kelantan dan Terengganu adalah kubu kuat Pas.
“Empat tahun lalu ketika berkempen di sini, satu bendera PH pun tak ada tetapi sekarang suasana sudah berbeza. Lagipun, Pas yang yang menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat. Jadi apakah kita mahu terus letak kepercayaan kepada mereka (Pas) lagi,” katanya. – UTUSAN