MELAKA: Kerajaan negeri optimis berjaya mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM5 bilion tahun ini selepas beberapa pelabur luar negara sedang giat memperbesarkan operasi di Melaka.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beberapa buah kilang sedang diperbesarkan termasuk sebuah kilang dari Amerika Syarikat (AS) yang sedang membawa pelaburan baharu berjumlah RM1.4 bilion di Batu Berendam di sini.
Beliau berkata, terdapat juga kilang dari Jerman yang telah membuat penambahan tapak operasi membabitkan perbelanjaan lebih RM2 bilion.
“Kilang-kilang ini terlibat dalam sektor semikonduktor dan elektronik. Pertambahan pelaburan baharu ini melengkapkan sasaran di peringkat kerajaan negeri untuk membawa RM5 bilion pelaburan.
“Meskipun pelaburan di Melaka terkesan sewaktu pandemik, namun kita tetap dapat membawa pelabur masuk. Melaka dikategorikan sebagai lima pilihan teratas untuk pelabur datang ke Malaysia.
“Untuk makluman, semua syarikat-syarikat besar bertaraf dunia yang melabur datangnya dari Jerman dan pelaburan terbesar mereka adalah di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke sebuah kilang pemprosesan makanan di Telok Mas, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rauf, sasaran pelaburan bukan sahaja dicapai dalam bentuk pelaburan langsung asing (FDI), tetapi turut melibatkan jumlah peluang pekerjaan yang disediakan kepada rakyat.
Menurutnya, setakat ini lebih 150,000 pekerja industri adalah rakyat Melaka yang telah mendapat manfaat daripada pelaburan asing di negeri ini.
“Kita sebenarnya mesra pelabur dan sedaya upaya memberikan kemudahan serta menjadi koordinator yang baik kepada para pelabur.
“Sistem mudah cara yang sedang kita aturkan akan memastikan pelabur menjadi rakan kepada kerajaan negeri sekaligus rakan kongsi terbaik untuk Melaka dan rakyatnya,” ujarnya. – UTUSAN