MERSING: Seorang lelaki maut selepas van jenazah dipandu terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing pagi tadi.
Mangsa, Wan Mohd. Nasyaruddin Wan Isma’ón, 38, difahamkan dalam perjalanan pulang ke Endau selesai menguruskan penghantaran jenazah.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu pukul 9.15 pagi.
“Bahagian Siasatan dan Trafik IPD Mersing telah menerima panggilan dari orang awam menyatakan terdapat kes kemalangan maut melibatkan sebuah van yang terbabas ke dalam gaung.
“Van berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai mekanik di Endau. Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu dari arah Johor Bahru ke Mersing hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghalang di bahu jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter di hadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati-hat memandu ketika musim pertambahan kenderaan dan fokus dalam pemanduan bagi mengelakkan kemalangan berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian. – UTUSAN