KOTA BHARU : Semua media mempunyai hak dan kebebasan untuk membuat laporan berkaitan proses pilihan raya mengikut ketetapan sedia ada, namun perlu mematuhi peraturan sebagaimana ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi stesen-stesen media milik kerajaan, mereka dikehendaki menjalankan tugas seperti biasa dalam menyampaikan dasar, program serta aktiviti kerajaan.
Menurutnya, bagaimanapun individu yang mewakili parti tidak boleh menggunakan aset kerajaan atas kapasiti dan tujuan politik masing-masing.
“Bila ada orang merungut kenapa banyak mengeluarkan kapsul tentang Perdana Menteri, saya kata ini adalah jabatan kerajaan dan semua agensi berita kerajaan ada peranan untuk terus menyampaikan segala apa yang bersifat dasar kerajaan mahupun program.
“Namun, sekiranya ia membabitkan individu sebagai calon, itu adalah tidak boleh. Mana-mana premis atau aset kerajaan tidak boleh digunakan atas nama parti politik, tidak kira parti mana sekalipun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Tegayong, Melor di sini hari ini.
Annuar memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras penyebaran berita palsu serta melanggar undang-undang.
“Kita menyanjungi kebebasan media tetapi dalam erti kata kebebasan, ada undang-undangnya. Bila ada kebebasan bukan bermakna boleh buat berita yang tidak tepat atau menyerang peribadi orang tertentu,” ujarnya. – UTUSAN