ALOR SETAR: MCA menegaskan parti itu sudah mengorak langkah ke depan dan melupakan isu perebutan kerusi dengan MIC sebaliknya fokus berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong beranggapan semua parti komponen dalam BN kini perlu bersatu hati dan teguh bersama untuk mengekalkan momentum mencipta kemenangan cemerlang kelak.
Jelasnya, isu pertukaran kerusi adalah satu perkara biasa dan semua pihak terlibat perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN.
“Perkara itu (pertukaran kerusi) adalah perkara biasa sebelum sesuatu perkara dibuat keputusan atau pun memuktamadkan calon untuk PRU atau pilihan raya negeri mahu pun pilihan raya kecil.
“Sudah pasti dalam gabungan itu ada calon yang berlainan nak berebut antara parti masing-masing yang berhajat. Ini tak salah pun, tapi apabila keputusan dibuat Pengerusi (BN) mengeluarkan watikah bermaksud sudah dimuktamadkan. ‘Move on’ dari saat itu,” katanya ketika hadir dalam program pertemuan bersama Pasukan Bomba Sukarela di Pejabat MCA Alor Setar, di sini hari ini.
Akhbar ini baru-baru ini melaporkan, Ka Siong menjelaskan bahawa parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dan bukannya MIC, namun Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran pada hari sama mengesahkan calon mereka, Datuk A. Kohilan Pillay tetap bertanding di situ.
Kelmarin, pada hari penamaan calon kerusi Parlimen Batu mencuri perhatian apabila menyaksikan pertembungan 10 penjuru dengan BN mempertaruhkan Kohilan Pillay yang juga Naib Presiden MIC untuk menentang sembilan calon lain termasuk empat calon bebas.
Terdapat desas-desus mengatakan komponen MCA di bahagian berkenaan yang kecewa dengan keputusan itu akan bertindak memboikot PRU.
Mengulas mengenai manifesto daripada pihak lawan, Ka Siong percaya pengundi sudah bijak menilai janji-janji manis yang pernah dibuat mereka sebelum ini.
“Biarlah rakyat menilai apabila mereka berkuasa pada satu ketika dahulu apa yang mereka lakukan. Jangan cakap tak serupa bikin,” katanya.
Katanya, MCA juga terlibat secara langsung dalam merangka manifesto BN sempenan PRU15 yang diyakini realistik dan menyentuh keperluan setiap rakyat Malaysia.
“Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini menunjukkan komitmen BN dalam memberikan tumpuan kepada setiap lapisan masyarakat. Kita perlu diberikan mandat untuk terus memimpin negara dan merealisasikan apa yang sudah kita bentangkan,” jelasnya. – UTUSAN