PETALING JAYA: Biarpun menjadi parti sandaran kaum Cina, MCA dan DAP tidak dapat meramalkan sentimen serta kecenderungan masyarakat itu mengundi parti mana dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini kerana pada saat-saat akhir pendirian mereka terhadap mana-mana parti politik dan calon boleh saja berubah mengikut isu dan kepentingan kaum berkenaan terutama bab ekonomi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan ramalan sokongan membabitkan pengundi berdasarkan kaum itu adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan.
Malah beliau berkata, adalah tidak wajar MCA bergantung harap kepada kajian daripada mana-mana institusi bagi meramal pola pengundian masyarakat Cina dalam PRU15 nanti.
“Tidak boleh hendak jangka berapa peratus sokongan mereka. Saya sudah melalui proses pilihan raya empat kali.
“Sepanjang pengalaman ini, kita tidak boleh bergantung harap kepada kajian kerana kita tidak tahu apa sentimen pengundi di saat-saat akhir nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat pada PRU13 meningkat sehingga 85 peratus.
Malah pada PRU14, kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PH juga dikatakan berhubung kait dengan tsunami Melayu yang menolak kerajaan pimpinan UMNO pada masa itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP akan cuba sebaik mungkin bagi menarik lebih ramai pengundi dan bukan hanya terhad kepada kaum Cina.
Katanya, DAP kini perlu berdepan cabaran sebenar pada PRU15 bagi meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi selepas kecewa dengan politik di negara ini.
“Saya tidak berani untuk meletakkan peratusan sokongan pengundi. Akan tetapi kita cuba sedaya upaya menarik sokongan tanpa mengira kaum.
“Untuk PRU15, saya tidak melihat ia mendorong kepada PH. Mungkin cabaran sekarang iaitu meyakinkan mereka keluar mengundi selepas dukacita dengan politik semasa. Itulah cabaran terbesar sebenarnya.
“Walau apa pun, soal sokongan pengundi termasuk kaum Cina kembali kepada BN tidak tepat. Memang ada menang (parti lawan) beberapa kerusi, tapi ia disebabkan peratusan mengundi turun dan ramai penyokong PH tidak keluar mengundi semasa di Johor dan Melaka,” jelasnya. – MINGGUAN