KANGAR: Menteri Besar yang baharu Perlis bakal mengangkat sumpah di Istana Arau, esok.
Majlis angkat sumpah itu dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang.
Menurut sumber dalaman, watikah pelantikan Menteri Besar itu telah dihantar ke pihak istana semalam dan hanya seorang calon daripada Pas dikemukakan untuk mengisi jawatan itu.
“Pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Istana Arau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tiga pemimpin kanan yang menghantar watikah itu adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu susulan kemenangan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.
Mohd. Shukri, 66, yang sebelum ini merupakan seorang guru dari 1985 sehingga 2013 seorang pemimpin yang sangat dihormati berikutan sifatnya mesra dan berjiwa rakyat.
Kejayaan PN membentuk kerajaan negeri bakal menyaksikan wakil Pas itu buat pertama kalinya akan memegang jawatan tersebut selepas lebih 60 tahun dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mohd. Shukri merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang sejak tiga penggal.
Keputusan PRU15 menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga setelah menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN.
Malah, PN juga menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini. – UTUSAN