PORT DICKSON: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang’ jika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara kerana terbukti menerusi kestabilan dan perpaduan baik dalam kalangan rakyat yang wujud di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut beliau, PN membawa agenda baharu, bersih dan stabil menerusi slogan kita PN BEST, dan perkata itu dibuktikan melalui negeri di bawah pemerintahan gabungan parti itu iaitu Kelantan Terengganu dan Kedah yang mana tiada salah laku.
“Semasa PN memerintah, dalam masa dua tahun, tiada salah laku, Alhamdulillah, masalah ekonomi selesai, tiada salah laku.
“Kestabilan wujud, perpaduan wujud dengan baik, ini nyata, orang bukan Islam jangan takut, kalau orang Islam memimpin, di Terengganu, Kelantan, Kedah, keluarga Cina, India boleh hidup di kampung bersama orang Islam, boleh ‘berkedai’ (berniaga).
“Pada 13 Mei (1969) ia berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, (tetapi) Kelantan, Terengganu, Kedah (tidak berlaku tragedi) 13 Mei, ini adab yang diajar oleh Islam (mengenai) hubungan kemanusiaan, ini kita kena sedar,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN sewaktu berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini semalam.
Yang hadir sama, Penasihat PN Negeri Sembilan, Tan Rais Yatim dan calon PN di Parlimen Port Dickson, Rafiei Mustapha.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyatakan sekiranya PN yang berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti negara ‘Afghanistan’ dengan mendakwa dasar ‘pelampau’ yang diketengah Pas mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.
Mengulas mengenai tuduhan menjadi seperti ‘Taliban’ yang dilemparkan kepada Pas, Abdul Hadi menepis dakwaan berkenaan kerana menyifatkan Taliban terdiri daripada mereka yang suatu ketika dahulu kurang pengetahuan dalam agama Islam.
“Bila kami (Pas) kata mereka Komunis, mereka tuduh Pas Taliban, Taliban ini siapa? Taliban ini pelajar pondok, yang menentang pencerobohan Amerika (Syarikat), pelajar pondok, budak pondok yang tidak banyak ilmu tapi mereka lawan Amerika dan Amerika kalah.
“Pengetahuan mereka tentang agama cetek, sekarang sudah agak berubah, buka sekolah dan sebagainya, ada perubahan,” jelas Abdul Hadi lagi. – UTUSAN