Masjid An-Nur Tiram 'kembar' Masjid Sultan Abu Bakar

Masjid An-Nur Tiram ‘kembar’ Masjid Sultan Abu Bakar

Onn Hafiz Ghazi bersama Syed Mohamed Syed Ibrahim (kanan) dan Mohd. Fared Mohd. Khalid melakukan gimik pecah tanah sempena Pelancaran Tabung Pembinaan & Pecah Tanah Masjid An Nur Bandar Tiram, Johor Bahru, hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembinaan Masjid An-Nur Bandar Tiram, di Ulu Tiram akan dibangunkan mengikut reka bentuk Masjid Sultan Abu Bakar yang terletak di pusat bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan rekaan sama untuk masjid berkenaan.

Menurutnya, perkara itu secara tidak langsung akan mengubat hati rakyat Johor yang mahu menunaikan solat di masjid bersejarah berkenaan.

“Kos pembinaan masjid ini adalah sebanyak RM11 juta, kosnya sedikit tinggi bagi membolehkan ia dibina mengikut rekaan Masjid Sultan Abu Bakar. Kami yakin pembinaan masjid ini akan beri manfaat kepada penduduk setempat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Pembinaan dan Pecah Tanah Masjid An-Nur Bandar Tiram, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Sementara itu, Syed Mohamed pula memberitahu, pembinaan masjid tersebut akan dimulakan bulan depan dan dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun 2024.

“Masjid ini akan dibina di atas tanah seluas 0.79 hektar dan apabila siap kelak, ia dijangka mampu memuatkan seramai 1,500 jemaah.

“Masjid ini akan menjadi masjid ketujuh di bawah rangkaian Masjid An-Nur. Ia merupakan satu keperluan utama dan menjadi tanggungjawab fardhu kifayah Waqaf An-Nur kepada masyarakat setempat untuk menyediakan tempat ibadat yang sempurna,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN