WANGSA MAJU: Menghidap masalah penglihatan bukan bermakna hilang upaya sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk empat sekeluarga keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Menurut Siti Suhaila Mohd. Shafie, 26, ini merupakan pengalaman kali pertama melaksanakan tanggungjawab dalam memilih pemimpin di Parlimen Wangsa Maju.
Katanya, dia bersama ibu serta dua beradik lain yang turut orang kurang upaya (OKU) penglihatan tiba kira-kira pukul 10 pagi dan proses berakhir satu jam kemudian.
“Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta polis juga banyak membantu kami.
“Ini kali pertama saya keluar mengundi, walaupun kekurangan begini tetapi tidak mematahkan semangat kami sekeluarga untuk memilih pemimpin,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah, Wangsa Maju.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani melakukan tinjauan di sekolah tersebut bagi Parlimen Wangsa Maju.
Beliau turut melakukan pemantauan di sekitar Kepong iaitu di SK Desa Amanpuri bagi Parlimen Damansara dan SK Intan Baiduri bagi Parlimen Batu. – UTUSAN