PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengganas yang menyasarkan orang awam yang tidak bersalah melalui insiden bom di Istanbul, Turkiye.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama Republik Turkiye dalam usaha untuk membendung sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas insiden letupan yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan di Istiklal Street, Taksim, Istanbul pada 13 November lepas.
“Semoga Allah S.W.T melindungi dan memelihara Republik Turkiye dan rakyatnya dari segala ancaman yang akan menjejaskan keamanan dan kestabilan dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menerusi catatan sama, Ismail Sabri turut berkongsi salinan surat diutuskan beliau kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Kelmarin, satu letupan berlaku di Istiklal Avenue, laluan popular dalam kalangan pelancong asing di sekitar Dataran Taksim, Daerah Beyoglu yang membunuh enam orang pejalan kaki dilaporkan berlaku pada pukul 4.20 petang waktu Turkiye (9.20 malam waktu Malaysia) dan turut mengakibatkan 81 individu lain mengalami kecederaan.
Tiada kumpulan tertentu yang mengaku bertanggungjawab, namun laluan tersebut pernah menjadi sasaran pengganas Daesh dan pemberontak Kurdish masing-masing pada 2015 dan 2016. – UTUSAN