‘Mahu ubah imej Kota Bharu bandar koboi’

‘Mahu ubah imej Kota Bharu bandar koboi’

ROSMADI Ismail (kanan) turut bertanyakan masalah yang dihadapi para peniaga semasa lawatan di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Rosmadi Ismail bertekad untuk ‘memulihkan’ semua bandar ini jika diberikan mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Rosmadi mengakui kerap mendengar keluhan dan rungutan ramai pengundi di sini yang tidak berpuas hati dengan aspek pembangunan di bandar ini sehingga ada yang menganggap ia bandar mati dan terbaharu ‘bandar bangla’.

Menurutnya, persepsi sebegini timbul berikutan pergerakan ekonomi yang amat perlahan dan salah satu puncanya adalah tiada aktiviti ekonomi sampingan selepas berakhir waktu perniagaan biasa.

“Selepas pukul 10 malam boleh dikatakan suasana bertukar gelap gelita tanpa adanya aktiviti ekonomi sampingan. Keadaan ini menyebabkan Kota Bharu dilihat seperti bandar mati atau bandar koboi.

“Sekiranya diberikan mandat, perkara pertama akan saya lakukan adalah mencerahkan bandar yang semakin kelam ini. Kita akan mencerahkan dengan limpahan cahaya lampu untuk menarik orang ramai datang ke Kota Bharu,” katanya kepada pemberita semasa melawat para peniaga di Bazar Tok Guru, di sini semalam.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu memberitahu, keadaan ekonomi tidak mengembang dan berada dalam keadaan menguncup juga menyebabkan beberapa bangunan dianggap ikonik di bandar ini seolah-olah terbiar.

Katanya, apabila tiada pengunjung serta sambutan tidak menggalakkan dalam perniagaan makanan, aktiviti ekonomi akan bermasalah sehingga menyebabkan bangunan-bangunan tersebut terbiar dan suram.

“Kegiatan ekonomi terlalu perlahan juga akan menyebabkan pembangunan infrastruktur di sini tidak boleh berjalan seiring dengan bandar-bandar utama lain di Malaysia.

“Keadaan ini menampak Kota Bharu seolah-olah terkebelakang dalam pembangunan infrastruktur, terutama di waktu puncak apabila keadaan jalan raya tidak dapat menampung kapasiti kenderaan yang semakin bertambah,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Kota Bharu merupakan salah satu daripada dua bandar utama di Malaysia yang masih belum mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bandaraya selain Kangar, Perlis.

“Bagi saya ini merupakan perkembangan tidak baik terutama bagi Kota Bharu yang dikenali dengan jolokan Bandaraya Islam. Kalau taraf bandaraya pun kita belum dapat, maknanya kita kena buat sesuatu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya