KUALA TERENGGANU: Pelakon, Zul Huzaimy atau lebih dikenali sebagai Spark tampil membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.
Permohonan maaf itu dimuat naik dalam satu video di Instagram miliknya yang berdurasi tiga minit 21 saat pada awal pagi tadi.
Beliau menafikan dirinya terlalu ekstrem hingga membuat kenyataan tersebut sebaliknya meminta rakyat Malaysia mendengar semula video itu dalam durasi yang lebih panjang kerana penerangannya lebih terperinci.
“Jangan salah anggap hanya berdasarkan klip video yang pendek itu kerana ia menggambarkan kenyataan yang kurang tepat.
“Apa yang saya sebut ialah orang bukan Islam (kafir zimmi) wajar dijaga sebaiknya kerana mereka juga menyokong pemerintahan Islam di negara ini, mereka ini adalah baik dan wajib pemimpin yang beragama Islam menjaga mereka.
“Ada pun kafir harbi (yang disebut dalam video ucapan) adalah musuh Islam yang nyata, maksud saya di sini ialah Non Muslim yang benci Islam, suka perkauman, buat hal hingga tak benarkan azan berkumandang di sesetengah tempat terlalu kuat.
“Semalam saya dapat satu video, ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang, bergendang dengan kuatnya di depan sebuah masjid, sedangkan orang Islam sedang azan Isyak dan solat Isyak.
“Benda inilah yang kita harus faham, yang saya maksudnya golongan Non Muslim yang segelintir ini, kena faham di situ,” katanya yang berharap kenyataan dalam video itu tidak disensasikan sebagai ucapan berunsurkan kebencian.
Tambahnya, beliau sendiri ada ramai sahabat pelbagai kaum termasuk Cina, India dan Sikh serta cintakan kedamaian serta saling menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.
“Saya bukanlah terlalu ekstrem atau suka bergaduh, malah arwah makcik saya pun seorang Cina beragama Islam, begitu juga kawan saya Adam Corrie juga kaum Cina yang beragama Islam.
“Yang saya maksudkan bila ada sesetengah pihak yang cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam sebagai agama rasmi Malaysia, itu maksud saya.
“Saya pun tak sokong mana-mana kumpulan Islam yang ekstrem nak membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang negara, saya pun tak sokong begitu,” katanya. – UTUSAN