KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) terbuka bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan syarat pakatan berkenaan mampu menawarkan yang terbaik untuk Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tawaran itu khususnya dalam merealisasikan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti pemberian khas 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kesediaan bekerjasama itu termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) asalkan ada tawaran yang boleh ‘memuaskan’ parti itu demi kebaikan rakyat di negeri ini.
Yakin menang di Sepanggar, Ketua Penerangan Warisan itu menegaskan bahawa pihaknya mempunyai strategi tersendiri jika tawaran itu gagal dipenuhi setelah bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan baharu.
“Mungkin PH boleh beri tawaran terbaik dalam sejarah tapi kalau mereka tidak menawarkan yang terbaik dan mungkin PN ada tawaran lain, maka kami mungkin pertimbang. Warisan juga tidak tolak kemungkinan kerjasama dengan UMNO.
“Bukan jawatan yang kami mahu, tetapi aspirasi rakyat Sabah. Jika anda mahu kerusi dan bekerjasama dengan kami, jadi tawarkan kami sesuatu yang kami tidak akan tolak iaitu MA63 dilaksanakan sepenuhnya tanpa berlengah. Tiada lagi jawatankuasa,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Pusat Pembelajaran Bandaraya, Kingfisher, di sini hari ini.
Ironinya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bulan lalu dilaporkan berkata, partinya hanya akan bekerjasama dengan parti yang berpusat di Sabah namun masih belum dimuktamadkan.
Hubungan Warisan dan PH keruh selepas mereka memeterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun lalu.
Sebelum itu, Mohd. Azis mengemukakan dan menandatangani borang pencalonan PRU-15 menyaksikan saingan lima penjuru dengan Datuk Yakub Khan (BN), Jumardie Lukman (KDM), Mustapha Sakmud (PKR) dan Yusof Kunchang (Pejuang).
Pada PRU-14 lalu, beliau menang kerusi itu dengan undi sebanyak 28,420 menewaskan calon BN yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sementara itu, Yakub ketika ditemui berkata, beliau yakin dapat merampas kerusi Parlimen Sepanggar berdasarkan rekod sokongan rakyat menyorot siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang memihak kepada BN selain mempunyai ramai pemimpin berpengalaman.
“Justeru, keyakinan bahawa kerajaan yang sepatutnya diberi mandat pastinya BN. Saya juga akan turun berkempen sekerap dan sekuat mungkin, berjumpa seberapa ramai pengundi untuk menyatakan hasrat saya jika terpilih sebagai wakil rakyat.
“Banyak isu yang perlu diselesaikan di kawasan ini seperti pembangunan, keperluan asas air, jalan, elektrik dan ketersambungan adalah hal yang perlu diutamakan,” katanya. –UTUSAN