‘Mahu jadi tali perpaduan, bukan ‘pecah’ undi’ 

‘Mahu jadi tali perpaduan, bukan ‘pecah’ undi’ 

JAMAL Hisham Hashim (berbaju batik) yang memulakan kempen secara bersemuka sedang mendengar luahan penduduk di Taman Sri Reko, Bangi, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Penyertaan calon bebas Parlimen Bangi, Prof. Dr. Jamal Hisham Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah untuk memecah undi tetapi menyatupadukan rakyat Malaysia. 

Beliau berkata, kebebasan bertanding dan mengundi adalah hak mutlak setiap rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan malah, kemungkinan hilangnya wang deposit sudah diambil kira. 

“Bukan niat saya untuk memecah-belahkan orang Melayu. Atas tiket bebas, saya ingin membawa pembaharuan kepada senario politik negara yang terlalu taksub kepada parti menyebabkan berlakunya berpuak-puak. 

“Selama ini, kita telah dipecah-belahkan oleh ahli politik dan parti politik yang bercakaran sesama sendiri,” katanya.

Jamal berkata, penyertaannya juga bagi membuka minda bukan sahaja masyarakat Melayu Islam, tetapi juga kaum berbagai bangsa dan agama di Malaysia, seperti pengundi yang terdapat di Parlimen Bangi ini.

“Sekiranya ditakdirkan keberadaan saya di Parlimen kelak, saya mahu menyatupadukan ahli Parlimen untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kaum, serta membawa negara Malaysia ke arah kegemilangan. 

“Keyakinan ini adalah kerana saya bertanding di atas tiket bebas dan atas inisiatif sendiri. Tiada sebarang pihak atau individu yang berada di belakang saya,” katanya. 

Mengulas mengenai cabaran tempoh kempen selama dua minggu, Jamal berkata, sebagai calon bebas, kemampuannya adalah terhad dan tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang, berbanding dengan manifesto parti-parti politik. 

“Sebagai ahli akademik, saintis, perunding dan pengiat badan bukan kerajaan (NGO), maka saya pasti ia bukanlah janji-janji kosong. Malah beberapa perkara yang digariskan dalam manifesto saya sudah dilaksanakan atau dalam perancangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya