Mahdzir, calon PN selesai mengundi di Padang Terap - Utusan Malaysia

Mahdzir, calon PN selesai mengundi di Padang Terap

MAHDZIR Khalid mengundi di SK Naka sempena PRU15 bagi Parlimen Padang Terap di sini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid selesai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka, pagi ini.

Penyandang kerusi Parlimen Padang Terap itu tiba pada pukul 8.55 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Noraini Abdullah yang turut mengundi di lokasi sama.

Hanya kira-kira lima minit selepas itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen tersebut, Nurul Amin Hamid tiba di sekolah tersebut untuk mengundi dengan diiringi isterinya, Bushra Mazani yang juga menunaikan tanggungjawab di situ.

Mahdzir ketika ditemui pemberita berkata, beliau berpuas hati dengan aturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap proses pengundian di situ.

“Alhamdulillah, cuaca juga baik dan saya difahamkan sejak sebelum 8 pagi lagi orang sudah mula berbaris. Saya berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian hari ini. Saluran mengundi untuk warga emas juga berada di tingkat bawah sekali gus memudahkan mereka mengundi,” katanya.

Sementara itu Nurul Amin berkata, pemerhatiannya mendapati perjalanan proses pengundian berlangsung dengan cukup harmoni.

“Rakyat sudah matang berpolitik dan keadaan banyak berubah berbanding dulu. Saya lihat perjalanan PRU di Padang Terap ini ibarat pertandingan antara adik-beradik tanpa ada terlalu banyak masalah yang timbul,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, seramai 300 pegawai dan anggota polis ditempatkan di beberapa lokasi di daerah itu bagi memantau keadaan dan memastikan proses perjalanan pengundian berjalan lancar.

“Tiada lokasi panas di sini dengan keadaan di sepanjang tempoh berkempen juga tenang. Begitu pun kami memberi tumpuan kepada beberapa lokasi pengundian yang memiliki banyak saluran di daerah ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya