SHAH ALAM: Generasi muda dalam kalangan pelajar universiti ingin tahu apakah perancangan kerajaan yang boleh memberi jaminan masa depan mereka.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Jalil, rata-rata pelajar universiti yang ditemui mahu pihak kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan setelah mereka bergelar graduan.
“Saya bertemu dengan pemimpin-pemimpin pelajar universiti di sini dan mereka hendak tahu apakah rancangan kerajaan untuk masa depan mereka terutama peluang pekerjaan disediakan untuk mereka setelah bergraduasi,” katanya selepas bertemu dengan pemimpin-pemimpin pelajar di Seksyen 14 malam tadi.
Hizatul Isham berkata, jika dipilih menjadi Ahli Parlimen Shah Alam pada 19 November ini, beliau akan menyuarakan isu tersebut di Dewan Rakyat selain kesukaran golongan itu memohon permit perniagaan.
“Dalam situasi sekarang ada graduan yang tidak mendapat pekerjaan, hendak berniaga. Saya akan cuba bantu perkara asas sebegini sebelum menyelesaikan perkara yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN