PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak barang-barang bernilai RM80 juta yang dirampas di Pavilion Residences, empat tahun lalu.
Peguam Negara berkata demikian ketika dihubungi media melalui aplikasi Whatsapp petang tadi.
“Ya, AGC (Jabatan Peguam Negara) tidak merayu terhadap keputusan Hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan beliau,” ujarnya ringkas ketika dihubungi.
Pada 14 November lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan kerajaan yang difailkan melalui AGC untuk melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama yang dikatakan hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pihak itu gagal membuktikan harta-harta yang disita itu berpunca daripada aktiviti haram.
Dalam permohonan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang dinamakan sebagai pihak ketiga, menuntut harta-harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.
Dalam keputusan tersebut, mahkamah berpuas hati, tiada unsur-unsur pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Menurut Hakim Muhammad Jamil, pegawai penyiasat, Asisten Komisioner Rajagopal gagal mendedahkan dan mengenal pasti pihak yang diamanahkan dengan wang 1MDB, pihak yang mempunyai penguasaan wang tersebut dan bagaimana Najib dikaitkan sebagai ejen syarikat itu.
Dalam keputusannya, beliau turut menyatakan, wang berjumlah AS$247,599,466 telah dibayar oleh Blackstone Asia Real Estate Partners dan beberapa pihak lain kepada 31 syarikat pengeluar dan penjual barangan kemas untuk pembelian barang kemas.
Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings terhadap pelbagai barang yang dirampas daripada Pavilion Residences yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1MDB.
Barang-barang itu termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Pada 20 Mei 2021, kerajaan gagal dalam permohonan untuk melucut wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita, didakwa milik Najib dan UMNO.
Pihak pendakwaan menghujahkan, 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta adalah hasil penyelewengan dana 1MDB.
Ini kerana wujud urus niaga langsung antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu rapatnya Eric Tan Kim Loong melalui syarikat Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners.
Hujah pendakwaan, sumber utama wang dalam akaun Ambank Najib yang berakhir dengan angka 694 adalah daripada wang yang dipindahkan daripada Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners iaitu syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan Eric Tan.
Mahkamah turut diberitahu, tujuh jam tangan jenama Richard Mille adalah hadiah kepada Najib, dan tiada perkaitan antara jam tangan yang disita itu dengan dana 1MDB. – UTUSAN