LANGKAWI: “Saya tidak sangka sama sekali, malah saya pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa penyertaan saya melawan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah satu ‘kamikaze’ bagi saya”.
Demikian kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang bukan setakat menumpaskan negarawan itu di Parlimen Langkawi tetapi empat lagi pesaing dalam pertandingan lima penjuru.
Memperoleh 25,463 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu, Mohd. Suhaimi yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah berkata, kemenangannya adalah di luar jangkaan apabila berjaya menewaskan Dr. Mahathir.
“Mana mungkin kita nak lawan Tun Dr. Mahathir yang merupakan seorang legenda dan bukan sahaja dihormati serta disegani di Malaysia, malah di seluruh dunia. Jadi memang tidak saya sangka sama sekali.
“Dengan keputusan parti meletak saya sebagai calon di Langkawi sebelum ini, saya memberanikan diri untuk mencuba dan alhamdulillah inilah keputusan yang kita dapat pada hari ini. Tidak jangka dan di luar dugaan saya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pada PRU15, Dr. Mahathir bukan sahaja sekadar mendapat 4,566 undi, tetapi turut hilang deposit di samping calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya yang memperoleh 5,417 undi dan seorang calon bebas, Datuk Abd. Kadir Sainudin, 89 undi.
Seorang lagi calon mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj meraih 11,945 sekali gus membolehkan Mohd. Suhaimi mendapat majoriti 13,518 undi.
Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi turut menyatakan kesediaan menunaikan janji-janjinya yang dibuat dalam ucapan dan ceramah sepanjang kempen PRU15. – UTUSAN