PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan memaklumkan, perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kembali dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai pukul 6 pagi, esok.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengoperasian semula dua hari lebih awal daripada yang dijangkakan itu selepas kementeriannya berpuas hati dengan analisis ke atas ujian meluas daripada pakar teknikal pengendali tren LRT, Rapid Rail Sdn. Bhd., Bahagian Penguatkuasaan Rel (RED) dan Bahagian Perancangan Rel (REL).
Malah, katanya, APAD sudah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.
“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk ulang-alik ke tempat kerja dan untuk menjalankan aktiviti harian. Saya juga meminta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk terus menyediakan bas-bas perantara di stesen-stesen hot spot sebagai langkah persediaan.
“Seperti yang saya telah sebutkan dalam sidang media pada 11 November lalu, saya telah meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepat proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah seperti ini tidak berulang.
“Kepada pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama tujuh hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya ditutup selama tujuh hari bermula 9 November lepas susulan gangguan perkhidmatan.
Penutupan itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.
Selain itu, stesen LRT yang tidak beroperasi turut membabitkan stesen KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.
Mengulas lanjut, Ka Siong merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan semua pihak yang terlibat, bertungkus-lumus 24 jam, membaiki dan memulihkan sistem sejak hari pertama kejadian berlaku.
“Tidak dilupakan juga kepada seluruh warga Rapid Bus, Smart Selangor dan Mara Liner yang menyediakan lebih 100 bas perantara percuma setiap hari, petugas-petugas di stesen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kakitangan sokongan yang membantu melancarkan perjalanan penumpang LRT yang terjejas.
“Saya juga melihat dalam media sosial ada di kalangan warga kota yang turut membantu menyediakan shuttle percuma dengan kenderaan sendiri mengangkut penumpang dari stesen LRT ke destinasi mereka. Usaha ini amat dipuji dan adalah bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN