Lembu, babi putus kepala dibaham harimau belang - Utusan Malaysia

Lembu, babi putus kepala dibaham harimau belang

GAMBAR harimau belang yang berjaya dirakam pekerja ladang di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Gua Air, Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 50 penduduk dan pekerja ladang diselubungi ketakutan selepas menemukan dua bangkai lembu dan seekor babi yang dipercayai dibaham harimau belang di Kampung Gua Air dekat Pos Pulat di sini tiga hari lalu.

Seorang pekerja ladang, Shahdon Nurji, 46, berkata, sebelum ini mereka kerap melihat kesan tapak kaki harimau di kawasan itu namun tergamam selepas melihat bangkai haiwan berkenaan.

“Pada pukul 8 pagi tadi pekerja ladang yang berada di atas lori sempat merakam gambar kelibat harimau belang semasa dalam perjalanan untuk mengait buah sawit.

RUSDI Mamat menunjukkan kelibat seekor harimau belang yang berjaya dirakam pekerja ladang di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Gua Air, Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

 

“Harimau itu dilihat berkeliaran di dalam ladang sawit yang jaraknya kira-kira 200 meter dari Kampung Gua Air. Kini semua pekerja ladang seramai 10 orang berada dalam ketakutan untuk melakukan kerja di ladang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gua Air di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Gua Air, Rusdi Mamat, 58, berkata, kejadian tersebut mengejutkan penduduk kampung kerana mereka terpaksa melalui jalan ladang untuk keluar ke bandar dan menghantar anak ke sekolah.

Katanya, penduduk kini juga bimbang untuk ke kebun kerana bimbang terserempak dengan harimau berkenaan.

“Hidup kami kini tidak aman dan terpaksa menangguhkan sementara aktiviti untuk ke kebun.

“Kami berharap pihak berwajib terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan dan pemantauan tentang serangan harimau berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN