BERUAS: Seorang lelaki maut akibat diserang babi hutan di dalam kebunnya di Kampung Paya Ara, Pantai Remis di sini, hari ini.
Mangsa, Syaiful Anuar Abdul Wahab, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badannya.
Dua rakan mangsa berusia 49 dan 60 tahun turut cedera ketika cuba membantunya dalam kejadian tersebut.
Babi hutan itu kemudian ditembak mati anggota polis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.05 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi bersama anggota polis dan pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba membantu memberi pencahayaan kepada pasukan polis untuk menembak haiwan liar tersebut.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut manakala dua lelaki yang cedera ringan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan.
Jelas beliau, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan Hisham Amzan itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.10 malam. – UTUSAN