Lebih 100 penduduk dipindah akibat banjir kilat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Lebih 100 penduduk dipindah akibat banjir kilat di Pulau Pinang

ANTARA penduduk yang terjejas dengan bencana banjir kilat di kawasan Seberang Jaya, Pulau Pinang ekoran hujan lebat selama beberapa jam sejak petang semalam. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sekurang-kurangnya 86 mangsa banjir terdiri daripada 26 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru, dekat sini sejak lewat petang semalam.

Sebahagian lagi mangsa iaitu kira-kira 20 orang ditempatkan di PPS Bukit Teh selepas beberapa kawasan sekitar dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Difahamkan, terdapat sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi ini susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah tersebut.

Selain daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan SPU, beberapa lokasi di Seberang Perai Selatan (SPS) juga dilaporkan terjejas akibat hujan lebat selama hampir lima jam iaitu sejak pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang turun padang meninjau situasi semasa banjir memberitahu, air mulai surut di kebanyakan kawasan dan ada mangsa yang telah dibenarkan pulang ke rumah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Batu Kawan berkata, beberapa kawasan dalam Parlimen itu juga terjejas ekoran banjir kilat itu khususnya di sekitar Taman Mangga dan Taman Sentul Jaya di Juru.

“Seperti yang saya selalu tekankan, projek-projek tebatan banjir bertujuan mengurangkan impak di kawasan yang berisiko untuk dinaiki air setiap kali berlakunya hujan lebat.

“Sebenarnya, projek tebatan banjir di Parit 5 (berhampiran Taman Mangga) telah siap sejak saya menjadi Exco lagi.

“Dalam hal ini, mungkin JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) boleh terangkan apakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana untuk mengawal keadaan ini (aliran air kuat hingga mengakibatkan berlakunya banjir),” katanya.

Wakil JPS negeri yang turut sama dalam tinjauan berkenaan dalam pada itu berkata, pemantauan berterusan terhadap paras air semasa dilakukan hingga pagi ini.

“Kita akan siasat dan kenal pasti punca berlakunya kejadian banjir kilat ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya