Laungan 'Reformasi' bergema di pejabat Anwar Ibrahim - Utusan Malaysia

Laungan ‘Reformasi’ bergema di pejabat Anwar Ibrahim

ADAM Adli (dua dari kiri) yang memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya antara yang hadir melaungkan reformasi di pejabat Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laungan ‘Reformasi’ bergema di pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing, di sini, selepas Istana Negara mengumumkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Perkataan keramat Presiden PKR sejak lebih 20 tahun lalu itu dilaungkan oleh beberapa pimpinan dan penyokong parti yang berada di sini sejak pagi tadi.

Kini, Ahli Parlimen Tambun itu sudah boleh menarik nafas lega kerana impiannya menjadi ketua kerajaan tercapai.

Antara pemimpin parti yang berada di situ termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli; Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari dan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.

Selepas itu, beberapa penyokong PKR di sini turut membaca doa dan bersyukur atas pengumuman Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sebentar tadi, Istana Negara dalam satu kenyataan selepas selesai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Beliau dijadual mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri pada pukul 5 petang di Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, Setiausaha Akhbar kepada Anwar berkata, pihaknya akan memaklumkan pergerakan Anwar dari semasa ke semasa kepada media. Ketika ini, Anwar berada di kediamannya di Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Anwar menang kerusi Parlimen Tambun dengan undi sebanyak 49,625 atau majoriti undi 3,736 menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (45,889) daripada PN.

Keputusan PRU15 menyaksikan parti-parti politik berdepan masalah membentuk Kerajaan Persekutuan kerana tiada yang mencapai majoriti mudah, sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

PH menang 82 kerusi diikuti PN dengan 73 kerusi; Barisan Nasional (BN), 30 kerusi; Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang enam kerusi, Parti Warisan (Warisan) menang tiga kerusi; Bebas (dua); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Keadaan itu menuntut parti-parti politik utama iaitu PH, PN dan BN membentuk Kerajaan Persekutuan secara campuran, namun, ia tidak semudah yang disangka berikutan perbezaan pendapat dan fahaman politik.

Pelbagai ramalan dikeluarkan antaranya PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau PN bekerjasama dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain itu, terdapat cadangan supaya PH dan PN bergabung, sekali gus menjadi kerajaan kukuh yang mempunyai majoriti lebih dua pertiga dewan.

20 November lalu, Seri Paduka menitahkan parti-parti politik mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara.

Dua hari selepas itu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah dilantik sebagai ketua kerajaan setelah pengesahan calon-calon dipersembah kepada Istana Negara.

Seri Paduka kemudian menitahkan ketua-ketua gabungan PH dan PN untuk menghadap ke Istana Negara, diikuti BN dan GPS menghadap secara berasingan pada 23 November lalu.

Hari ini, Seri Paduka memberi perkenan menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bertujuan mendapatkan pandangan bagi membuat keputusan pembentukan Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya