KUANTAN: Lapan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menandatangani akuan bersumpah (SD) hari ini bagi menyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar.
Kesemua mereka menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Sim Chon Siang, yang menang di DUN Teruntum.
Menurutnya, proses menandatangani SD itu diadakan di sebuah pejabat peguam di Temerloh, dekat sini.
Beliau berkata, wakil rakyat lain yang bersamanya menandatangani SD ialah Chan Chun Kuang (Semambu), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Woo Chee Wan (Mentakab) dan Thomas Su Keong Siong (Ketari).
“Tiga lagi, Ho Chi Yang (Tanah Rata), Leong Yu Man (Triang) dan Lee Chin Chen (Bilut) dijangka berbuat demikian hari ini.
“Kami difahamkan perbincangan dengan BN Pahang tentang pembentukan kerajaan negeri masih berjalan,” katanya di sini hari ini.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) Pahang menang tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN.
Bagaimanapun, Pahang masih dalam keadaan tergantung apabila Barisan Nasional (BN) menang 16 kerusi DUN dan lapan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN