PETALING JAYA: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengunci mulut berhubung spekulasi mengatakan beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam senarai barisan Kabinet kerajaan baharu, yang dijangka diumumkan, esok.
“Saya tidak boleh respon, nanti saya hubungi anda semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas spekulasi yang mengaitkannya dengan jawatan tersebut dalam barisan menteri Kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Utusan melaporkan, senarai menteri Kabinet kerajaan perpaduan diterajui Anwar dijangka diumumkan esok.
Menurut sumber Utusan Malaysia, saiz Kabinet itu dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding kerajaan terdahulu iaitu hanya terdiri daripada 25 jemaah menteri. – UTUSAN