Lando tekad teruskan kerja amal, Eizlan berlapang dada tewas - Utusan Malaysia

Lando tekad teruskan kerja amal, Eizlan berlapang dada tewas

LANDO ZAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando, bertekad meneruskan kerja amal menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Brotherhood Malaysia selepas tewas di kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Lando menjelaskan, NGO yang mempunyai ahli di seluruh negara itu akan terus memberikan fokus terhadap kerja kebajikan seperti menurap jalan berlubang, menghulurkan bantuan kecemasan dan kes kemalangan melibatkan orang awam.

“Niat saya sebenarnya untuk menghidupkan kembali Brother­hood Sungai Sireh di Tanjong Karang. Ia disebabkan wakilnya sebelum ini meninggal dunia, jadi saya tergerak hati untuk hidupkan semula.

“Kita banyak terbabit de­ngan kerja amal dan memberikan bantuan kepada orang ramai yang ditimpa kesusahan. Kes kemalangan adalah paling ba­nyak diterima oleh Brotherhood,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Mengulas kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Lando yang bertan­ding atas tiket Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, dia ber­puas hati sepanjang dua minggu berkempen di kawasan tersebut.

EIZLAN YUSOF

Katanya, penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Karang menerima kehadirannya dan jentera Brotherhood dengan baik.

“Kita bergerak dengan jentera hanya seramai 10 orang. Dalam dua minggu ini, saya baru belajar untuk kenal dan menyesuaikan diri dengan politik. Alhamdulillah, dapat 3,557 undi pun sudah membuatkan saya bersyukur,” katanya.

Kerusi Parlimen Tanjong Karang dikuasai calon Perikatan Nasional (PN), Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi yang mendapat 18,054 undi.

Ditanya sama ada berhasrat untuk bertanding lagi pada PRU akan datang, Lando berkata, masih terlalu awal memikirkan soal tersebut kerana matlamatnya hanya membantu rakyat dalam kesusahan.

Sementara itu, Datuk Seri Eizlan Yusof pula berterima kasih kepada penduduk, terutama pengundi di Sabak Bernam yang menerima kehadirannya bertanding di situ.

Walaupun hanya memperoleh 460 undian, Eizlan berkata, dia tidak ambil hati walaupun gagal, sebaliknya gembira sepanjang berkempen kerana dapat bertemu dan berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya gembira menjadi antara peserta dalam sistem demokrasi Malaysia yang semakin subur.

“Ada yang mengundi dan ramai juga tidak mengundi saya. Namun, perkenalan dengan penduduk Sabak Bernam dan kehadiran saya disambut serta diraikan merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

“Pengundi telah memilih dalam sistem demokrasi. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua,” katanya.

Eizlan turut menitipkan pesan kepada wakil rakyat yang dipilih agar tidak mensia-siakan kepercayaan diberikan kerana ini adalah peluang mereka be­kerja untuk rakyat, bukan sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya