NIBONG TEBAL: Hujan lebat yang melanda negeri ini sejak dua minggu lalu menyebabkan laluan utama ke tapak pelupusan Pulau Burung di sini, rosak teruk tanpa sebarang penyelenggaraan.
Ketua Persatuan Pemilik Kenderaan Roro Utara, Arif Ibrahim mendakwa, keadaan laluan terbabit menimbulkan kesukaran terhadap pengusaha kerana enjin lori sampah sering rosak dan perlu dibaik pulih.
“Selain itu, kami terpaksa menanggung kerugian kerana jika sebelum ini, empat sehingga lima trip dapat dilakukan dalam sehari, namun kini hanya satu atau dua trip sahaja yang mampu dibuat pemandu dek laluan yang bermasalah.
“Isu ini sudah lama dan berulang-ulang setiap kali musim hujan, namun tiada usaha daripada pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menyelesaikannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, hampir 15 pemandu lori tapak pelupusan sampah itu mengadakan bantahan dalam usaha mendesak MBSP membaik pulih segera laluan masuk ke tapak pelupusan terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pengusaha dan pemandu lori sampah berdepan risiko risiko penamatan kontrak kerana gagal menjalankan aktiviti kutipan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pengusaha kilang sering mengugut untuk mencari operator baharu dan menamatkan kontrak kami sedangkan pemandu lambat disebabkan keadaan jalan yang amat menyedihkan.
“Mereka takkan faham, yang mereka mahu hanyalah sisa kilang diambil dan dibuang tepat pada masanya.
“Kami merayu kepada MBSP untuk turun padang dan lihat sendiri keadaan pengusaha lori yang tersepit dalam situasi sukar ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pemandu, Aziz Zainal Abidin berkata, kekurangan kemudahan di tapak pelupusan juga menambahkan lagi kerunsingan dalam kalangan operator.
“Laluan ini akan berlecak setiap kali hujan dan lumpur yang terpercik ke lori pun sukar dibersihkan kerana tiada air bilasan disediakan.
“Ada antara kami yang pernah dikenakan saman oleh penguat kuasa kerana lumpur yang kering menutupi nombor plat kenderaan dan salah di sisi undang-undang.
“Sudahlah trip berkurangan, lori pula rosak akibat laluan bermasalah dan ditambah dengan saman membuatkan kami benar-benar tersepit dalam pekerjaan kami,” katanya.
Sementara itu, wakil MBSP ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak aduan terbabit. – UTUSAN