KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membuka jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi tahun 2023 bermula 15 November ini.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, jualan tiket berkenaan melibatkan perjalanan bertarikh 1 Januari 2023 sehingga 30 Jun 2023 menggunakan jadual waktu sedia ada bagi kedua-dua perkhidmatan itu.
“Jualan tiket ini dibuka untuk tempoh enam bulan akan datang bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri atau merancang pulang ke kampung semasa musim cuti sekolah dan bercuti di dalam negara.
“Para pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) sedia ada dan boleh dimuat turun melalui Play Store bagi pengguna android dan Appstore bagi pengguna iOS iPhone atau pembelian menerusi laman sesawang KTMB,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain itu, katanya, perkhidmatan ETS menawarkan sebanyak 1.8 juta tiket bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 sementara perkhidmatan KTM Intercity menawarkan sebanyak 2.6 juta tiket bagi tempoh yang dinyatakan.
“Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 32 perkhidmatan melibatkan sepuluh laluan iaitu KL Sentral-Butterworth; 10 laluan KL Sentral-Ipoh; lapan laluan KL Sentral-Padang Besar dan dua laluan di Gemas-Butterworth dan Gemas-Padang Besar,” katanya.
Sementara itu, KTMB berkata, KTM Intercity menawarkan sebanyak 53 perkhidmatan seperti Shuttle Timuran melibatkan perjalanan dari Gemas-Kuala Lipis-Tumpat dan Ekspres Rakyat Timuran bagi perjalanan dari Johor Bahru Sentral ke Tumpat.
“Tren Ekspres Selatan pula melibatkan perjalanan dari Gemas ke Johor Bahru Sentral manakala Shuttle Tebrau melibatkan perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands, Singapura,” katanya. – UTUSAN