KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert Doa Buat Zamani menjelaskan, penganjuran acara di Zepp Kuala Lumpur pada 30 September lalu, melibatkan penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu tidak mendapat keuntungan besar dan boleh dikatakan hanya balik modal.
Disebabkan tiket banyak tidak terjual, penganjur bersama, Saiful Azlan Ahmad, 49, berusaha memenuhkan tempat di konsert tersebut kerana ia turut dirakam untuk dijual kepada stesen televisyen.
Beliau turut menunjukkan penyata jualan tiket konsert sebanyak 365 keping yang hanya terjual sebanyak satu pertiga berbanding jumlah keseluruhan kapasiti yang mampu memuatkan sehingga 1,200 penonton.
Katanya, pecahan lengkap jualan terbabit menyaksikan tiket untuk kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214 keping), Maria Mariana (31 keping) dan Kurnia (48 keping) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.
“Jumlah itu kemudian dicampur dengan tiket pembelian Tunku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120.
“Dari situ saya bayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang jumlahnya mencecah RM111,485.
“Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang kami peroleh. Wang itu akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30.
“Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang,” katanya dalam sidang akhbar di Ampang, semalam.
Penjelasan itu dibuat selepas isteri Zamani, Nur Juliana Abd. Rani memuat naik kenyataan dalam media sosial yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran selepas konsert tersebut.
Difahamkan, penganjuran konsert itu bertujuan menampung dana selepas operasi pembedahan selesai dan bukan melibatkan dana untuk menjalani pembedahan.
Disebabkan salah faham itu, Saiful Azlan ditohmah masyarakat kononnya dia ‘songlap’ duit dan mengganggu kelancaran operasi pembedahan yang dijadualkan di sebuah hospital swasta, minggu depan.
Mengulas lanjut, Saiful Azlan yang mewakili syarikatnya Indera Entertainment berkata, akibat tuduhan tersebut, maruah dirinya tercalar kerana jelas memburukkan namanya yang sudah menguruskan perjalanan karier Zamani sejak 2014.
Katanya, dia juga sudah berusaha menghubungi Zamani sendiri lebih tiga hari, namun panggilan langsung tidak berjawab.
“Saya sangat kecewa sebab niat asal memang hendak bantu dia, tetapi balasan seperti ini yang saya terima.
“Kalaulah saya ini menipu, sudah lama saya lari. Tetapi siapa yang lari sekarang? Kalau boleh saya tidak mahu masalah ini berpanjangan kerana ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup,” katanya.
Difahamkan, pihaknya akan berkunjung ke pejabat Mytickets Asia dalam minggu ini untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai penjualan tiket secara keseluruhan. – UTUSAN