Kon Yeow yakin diterima baik pengundi di Batu Kawan - Utusan Malaysia

Kon Yeow yakin diterima baik pengundi di Batu Kawan

CHOW KON YEOW (dua dari kanan) menyapa pengundi muda ketika turun padang berkempen di sekitar Medan Selera Inderawasih, Perai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menganggap penerimaan pengundi di kawasan Parlimen Batu Kawan terhadap beliau selaku calon bagi kerusi Parlimen itu mewakili Pakatan Harapan (PH) ketika ini amat baik.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, memasuki hari keempat berkempen, beberapa kawasan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut iaitu Bukit Tambun, Bukit Tengah dan Perai telah berjaya disinggahinya dan setiap persinggahan itu menerima maklum balas menggalakkan.

“Kita akan teruskan hingga ke akhir (berkempen) untuk memperkenalkan calon, membawa mesej dan mendengar suara rakyat juga.

“Jadi, dalam sesi-sesi lawatan ini, kita akan lihat bagaimana reaksi dan penerimaan daripada para pengundi itu sendiri (terhadap beliau),” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika turun padang berkempen di sekitar Medan Selera Inderawasih, Perai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sepanjang sesi ‘walkabout’ dan pertemuan dengan pengundi serta penduduk setempat itu, beliau menerima beberapa aduan terutama melibatkan kebajikan golongan tersebut.

Katanya, sebahagian daripada aduan tersebut kini dalam pertimbangan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala selebihnya juga akan diteliti.

“Selain itu, ada juga aduan yang diterima berkaitan isu tanah di perkampungan Juru yang melibatkan pertubuhan agama. Itu pun kita sudah menerima salinan surat-surat dan memberi nasihat untuk mereka ambil tindakan seterusnya.

“Apapun, kita tak boleh bagi apa-apa janji sebab ini (merupakan) kesalahan di bawah akta pilihan raya. Kita ambil maklum dan lepas itu kita beri jawapan kepada pihak-pihak yang mengadu,” katanya.

Kon Yeow yang sebelum ini penyandang Parlimen Tanjong akan merebut kerusi baharu baginya itu dalam persaingan lima penjuru menentang calon parti Warisan, Ong Chin Wen; Tan Lee Huat (BN); Lee Ah Liang (PRM) dan Wong Chia Zhen (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya