PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Khairy Jamaluddin sebagai tokoh yang berkredibiliti untuk memegang jawatan Perdana Menteri suatu hari nanti.
Katanya, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh yang juga Menteri Kesihatan itu sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sebagai menteri.
“Saya fikir mungkin memang bukan satu omong kosong. Dia sorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai. Dia menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.
“Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia,” katanya mengulas kenyataaan Khairy bahawa beliau ingin memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.
Muhyiddin yang juga calon PN di Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Panjang Sari, di sini, hari ini dengan ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Beliau berkata, Khairy kena menambil alih UMNO dan menjadi Presiden terlebih dahulu untuk mencapai impian tersebut.
“Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan. Ketika ini dia boleh cakap sahaja, tak salah pun,” katanya. – UTUSAN