KANGAR: Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Azlan Man hadir bagi mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong pada pukul 8.50 pagi ini.
Kehadiran calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong itu diiringi isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar yang turut sama mengundi di pusat mengundi berkenaan.
Sejurus selepas tiba, Azlan bersama isteri turut beratur menanti giliran bersama pengundi lain dan selesai mengundi pada pukul 10.23 pagi.
Selain itu, pasukan keselamatan turut melakukan kawalan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku di samping memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Pusat pengundian dibuka bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup secara rasmi pada 6 petang.
Dalam pada itu, Azlan ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun katanya, tempoh masa menunggu bagi setiap pemilih agak panjang dan menyukarkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Ia mungkin beri sedikit masalah buat warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan bagaimanapun semua proses pemilihan berjalan lancar,” katanya.
Tambah Azlan, jentera dan pimpinan BN telah menjalankan kerja masing-masing sewaktu tempoh kempen dan beliau menyerahkan segala keputusan atas ketentuan Allah SWT.
“Ini adalah hari penentuan dan kita nantikanlah apa keputusannya pada malam ini,” katanya.
Azlan berdepan saingan sengit di Bintong dalam PRU15 dengan berdepan lima pencabar lain iaitu Mohd Shazwan Suban (GTA); Azhari Ahmad (PH); Hashim Suboh (Bebas); Mohamad Khair Mohd Noor (Warisan) dan Fakhrul Anwar Ismail (PN).
Pada PRU14, Azlan memenangi kerusi DUN Bintong dengan majoriti 847 undi menerusi pertembungan tiga penjuru berdepan Mokhtar Che Kassim (PKR) dan Abdul Jamil Kamis (Pas). – UTUSAN