Kimma yakin tembus kubu PH di Puchong

Kimma yakin tembus kubu PH di Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Puchong yakin dirinya mampu menembusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Beliau yang berketurunan India Muslim itu berkata, kelebihan untuk bertutur dalam bahasa Tamil memberi nilai tambah kepadanya untuk mendekati para pengundi India di kawasan tersebut. 

“Saya rapat dengan masyarakat India dan boleh bertutur dalam bahasa Tamil, jadi ini akan memberi kelebihan untuk saya di sini selain mendapat sokongan daripada MCA untuk mendekati para pengundi Cina. 

“Pada pengamatan saya, sentimen pengundi juga bukan seperti PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lalu kerana mereka sudah merasai pentadbiran di bawah PH dan PN (Perikatan Nasional) jadi saya yakin, sambutan yang diterima pun rata-ratanya memberikan respon positif,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini. 

Jelas Syed Ibrahim, ketika 10 parti Friends of BN meninggalkan BN apabila gabungan itu tewas pada PRU14 lalu, Kimma dan tiga lagi parti lain iaitu Makkal Sakti, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tetap setia bersama BN.

Katanya, ini merupakan julung kali Kimma diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum dan beliau bertekad untuk menzahirkannya dalam bentuk kemenangan. 

Sementara itu, calon PH dari DAP, Yeo Bee Yin mahu bekerja keras demi mengekalkan kemenangan selama tiga penggal gabungan tersebut di Parlimen Puchong. 

Bee Yin yang juga merupakan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, dia tidak kisah mengenai siapa pun calon yang bertanding kerana ingin memberi fokus untuk memenangi PRU15. 

“Tak kira calon siapa pun yang bertanding kerana saya mempunyai pendirian tersendiri iaitu tidak akan menyerang pihak lawan kerana saya hanya mahu tonjolkan diri saya kepada pengundi,” ujar penyandang kerusi Parlimen Bakri itu menggantikan Gobind Singh Deo yang bertukar ke Parlimen Damansara. 

Terdahulu, Parlimen Puchong sah menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon BN, PH, PN dan seorang calon Bebas pada PRU15 iaitu Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas); Syed Ibrahim (BN) dan Chew Jyh Gang (PN).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya