SUBANG JAYA: Presiden parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader akan memperjuangkan tiga perkara utama untuk pengundi di Parlimen Puchong.
Menurutnya, tiga perkara tersebut adalah untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang teruk.
“Sebelum ini banyak janji-janji dilontarkan kepada rakyat di sini hingga mereka percaya masalah kesesakan tersebut dapat diselesaikan.
“Namun sehingga kini pihak terbabit tidak mencari jalan (untuk penyelesaian) dan membiarkan masalah tersebut begitu sahaja,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pencalonan beliau sebagai calon parlimen Puchong di Bandar Puchong Utama, di sini malam tadi.
Terdahulu Syed Ibrahim menyifatkan pencalonan dirinya di Parlimen Puchong mewakili Friends Of Barisan Nasional (BN) sebagai penghargaan atas kesetiaan parti itu bersama BN selama 46 tahun.
Beliau berkata, ketika 10 parti Friends Of BN meninggalkan BN apabila gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kimma dan tiga parti lain iaitu Makkal Sakti, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tetap setia bersama BN.
Syed Ibrahim berkata, keduanya beliau ingin menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing di beberapa bidang perniagaan.
“Ramai peniaga-peniaga di Parlimen Puchong yang mengadu mereka menghadapi masalah kekurangan pekerja dan berharap masalah tersebut saya selesaikan.
“Ketiga, saya ingin menyelesaikan masalah perumahan terutama rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada tahun 2018 masih tidak dibina. Kita di Puchong ramai B40 dan M40 tetapi kita tidak bagi ruang kepada mereka untuk memiliki rumah yang mampu milik dan perkara ini tidak diselesaikan pemimpin di sini,”ujarnya.
Katanya lagi, beliau berharap dapat mewujudkan rumah PPRT dan mampu milik jika diberi peluang oleh pengundi untuk memilih dirinya sebagai Ahli Parlimen Puchong.
Jelasnya lagi, kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi akan digalas sebaiknya dan berjanji akan memberikan tentangan habis-habisan terhadap calon-calon lain parlimen tersebut.
Kerusi Puchong sebelum ini disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal selepas menang pada 2008, 2013 dan 2018.
Pada 2018, Gobind memperoleh majoriti 47, 635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (Pas).
Parlimen Puchong sah menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada majlis penamaan calon pagi tadi, Syed Ibrahim akan bertanding bersama penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas) dan Chew Jyh Gang (PN). – UTUSAN