Kes AMLA dan elak cukai Rosmah diberi keutamaan

Kes AMLA dan elak cukai Rosmah diberi keutamaan

Rosmah Mansor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memberi keutamaan kepada perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor kerana kes itu sudah mengambil masa yang lama sejak isteri bekas Perdana Menteri didakwa empat tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, perbicaraan kes tersebut belum bermula sejak Rosmah dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 2018.

Terdahulu, peguam Revin Kumar yang mewakili Rosmah memaklumkan, Datuk Geethan Ram Vincent yang mengetuai pasukan pembelaan mempunyai kes lain untuk dikendalikan.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini berpandangan, peguam tersebut hanya boleh mengutamakan kes lain jika ia melibatkan hukuman mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember untuk sebutan semula bagi membolehkan pihak-pihak menetapkan tarikh perbicaraan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan, pihak pendakwaan akan memanggil 14 saksi memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Yih Tinn turut berkata, hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi membolehkan mahkamah dimaklumkan mengenai perkembangan rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan berhubung permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan itu.

Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun berkata, jika rayuan itu ditolak, beliau akan mendengar kes tersebut namun jika rayuan dibenarkan, seorang hakim lain akan mendengarnya.

Yih Tinn selanjutnya menyatakan, rayuan itu sepatutnya didengar pada 22 November lalu namun ditangguhkan kerana panel bersidang mahu mendengar penghujahan lanjut berhubung isu bidang kuasa dan prinsip undang-undang `res judicata’.

Pada prosiding itu, Mahkamah Rayuan mahukan pihak-pihak berhujah lanjut sama ada ia mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan Rosmah untuk menyingkirkan hakim perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.

Pengurusan kes di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 23 Disember ini bagi membolehkan pihak-pihak menyediakan hujahan bertulis.

Isteri bekas Perdana Menteri merayu dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Disember 2021 dan 25 April lalu yang menolak permohonan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Hakim Mohamed Zaini merupakan hakim sama yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah disabitkan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Sabitan dan hukuman itu yang diputuskan pada 1 September lalu bagaimanapun ditangguhkan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN