KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Batu, P. Prabakaran tiba pada pukul 8.41 pagi bagi mengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, di sini.
Prabakaran ketika ditemui media mengatakan dirinya gementar melihat kertas undi 10 penjuru di Parlimen Batu.
“Kertas undi panjang tetapi straightforward dan simple. Tangan saya pun nervous nak undi siapa,” katanya berseloroh.
Parlimen Batu menyaksikan pertembungan terbesar bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di mana 9 calon lain akan bersaing dengan Prabakaran yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut.
Sementara itu, Prabakaran turut menasihati pengundi untuk keluar mengundi walaupun keadaan cuaca tidak berapa baik kerana ia penting untuk masa depan negara.
“Kita ada sediakan payung dan kerusi roda. Segala jentera saya bersedia di setiap kawasan mengundi, apa-apa kita akan bantu pengundi.
“Kita semua juga kena doa supaya hujan tidak lebat hari ini,” katanya. – UTUSAN