Kerjasama PH, BN di Perak ibarat 'baru kahwin'

Kerjasama PH, BN di Perak ibarat ‘baru kahwin’

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (tengah) dalam sidang akhbar selepas istiadat angkat sumpah jawatan Exco di Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak,  hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diibaratkan sebagai ‘pasangan yang baru berkahwin’.

Exco Perak yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, meskipun kerjasama itu akan memperlihat senario berbeza, ia diyakini mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.

Ini kerana, katanya, kedua-dua gabungan itu telah lama mengenali dan mengetahui kekuatan dan kelebihan masing-masing.

“Buat masa ini, kita macam orang yang baru kahwin. Jika mempelai saling tidak kenal, mereka akan mengalami satu senario yang berbeza.

“Tapi kami (PH) ini saling mengenali dengan BN, mereka juga mengenali kami. Cuma kami ini tidak bersanding sekali, itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah,  di sini hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, pengalaman dimiliki PH dan BN memberi suatu bentuk landskap politik baharu di Perak.

Katanya, rakyat akan melihat tiada lagi politik marah dan caci maki sebaliknya hormat-menghormati di antara semua parti.

“Mereka ini wujud untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Kami sudah lupakan segala perkara yang menyebabkan perselisihan faham yang merugikan rakyat.

“Perkara lama itu sudah lama berlalu, sekarang adalah landskap politik baharu. Jadi, kita kena masuk ke dalam supaya rakyat dapat menyokong kerajaan ini supaya menjadi kukuh demi kebaikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu menolak dakwaan kononnya kerjasama antara PH dan BN sebagai resepi bencana seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya rasa itu pandangan beliau sendiri tapi mungkin juga inilah resipi untuk menentukan kebaikan negeri Perak. Kita sudah mengalami kemelut ini sekian lama dan tidak ada jalan penyelesaian.

“Barangkali resipi ini bukannya yang buruk, saya yakin jika kerjasama antara PH dan BN khususnya Exco-exco itu, ia tidak memustahilkan kerajaan yang kukuh yang dapat memberi jaminan kepada pelabur asing, orang luar dan rakyat sendiri,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya