PADANG TERAP: Dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya ditimbulkan lawan sebagai taktik untuk mempengaruhi orang Melayu agar tidak mengundi BN.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan itu tidak lebih daripada untuk menampakkan seolah-olah BN bakal menjalin kerjasama dengan DAP yang turut menunjangi PH.
Namun katanya, langkah untuk mencipta dakwaan tersebut tidak lebih daripada cuma satu andaian termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut membangkitkan perkara itu dalam ceramahnya sebelum ini.
“Ucapan itu mereka harapkan akan memberi kesan kepada BN kerana orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP. Apabila mereka buat kenyataan begitu, seolah-olah dia bagi satu gambaran yang BN mahu bergabung atau bekerjasama dengan PH.
“Mereka beri gambaran salah dengan harapan orang ramai tidak mengundi BN kerana didakwa akan bergabung dengan DAP. Namun hakikatnya, dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun kita dah sebut ‘No Anwar, No DAP’ dan itu bermakna, parti ini sudah beri satu indikator yang jelas bahawa tak timbul soal bergabung (dengan PH).
“Bagi saya, kenyataan dibuat lawan itu cuma mahu memberi signal yang salah kepada pengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Peserta Rancangan Felcra di Pusat Komuniti Padang Kerasak di Naka, hari ini.
Beberapa kepimpinan PN termasuk Muhyiddin serta Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini membangkitkan perkara tersebut dalam siri ceramah mereka di Kedah.
Malah Abdul Hadi turut mendakwa yang beliau mendengar khabar, terdapat kepimpinan UMNO sengaja mahu mengecilkan kemenangan BN sebagai salah satu strategi bagi bergabung dengan PH selepas berakhir PRU15.
Mengulas lanjut Mahdzir berkata, BN bakal menempuh PRU kali ini dengan satu matlamat iaitu meraih kerusi sebanyak mungkin bagi membentuk kerajaan untuk membela nasib rakyat.
“Banyak-banyak parti ini, eloklah kita amalkan cara kempen yang berhemah dan membawa naratif yang betul kepada rakyat. Kami di UMNO ini masuk PRU dengan hasrat menubuhkan kerajaan demi rakyat dan tak pernah pun berbincang untuk bergabung dengan mana-mana pihak.
“Sebab itu kita sediakan calon Perdana Menteri yang baik iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Alhamdulillah, kebelakangan ini nampaknya sokongan rakyat di kebanyakan tempat kian meningkat dan insya-Allah kita mampu mencapai sasaran untuk menubuhkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN