ROMPIN: Kerjasama peringkat Pusat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memberikan potensi kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, namun Mohd. Johari tetap berdepan tugas getir ekoran gelombang kebangkitan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, Sabtu lalu.
Beliau berkata, ekoran gelombang itu, kerusi Parlimen Rompin dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam di sini dimenangi calon PN dan BN hanya menang di Muadzam Shah.
“Mohd. Johari berpeluang mempertahankan kerusi itu jika kerajaan yang dibentuk mampu menguruskan tekanan dengan baik serta beliau sempat membina keyakinan pengundi di lokalitinya.
“Namun, dalam fasa sekarang, dengan prestasi PN dalam PRU15 Sabtu lalu, kemungkinan ia membawa kepada pertembungan yang sengit walaupun PH dan BN bekerjasama,” katanya di sini semalam.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRU15 yang diadakan semula, 7 Disember ini ekoran kematian PN, Sabtu lalu.
Mohd. Johari berdepan saingan Nor Idayu Hashim (PN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dari Pakatan Harapan (PH).
Mohd. Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU14 lalu.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Disember untuk undi awal dan pengundian, 7 Disember.
Kerusi DUN Tioman turut menjadi tumpuan selepas keputusan PRU15 lalu menyaksikan kerajaan negeri tergantung kerana tiada parti bertanding mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Pada PRU15 Sabtu lalu, BN Pahang memenangi 16 kerusi, PN 17 kerusi dan PH lapan kerusi.
Sementara itu, Mohd. Johari berkata, beliau kini memikul beban cukup berat untuk mempertahankan kerusi DUN Tioman pada PRU15 ini.
“Seluruh mata, seluruh negara kini tertumpu di DUN Tioman dan tentunya ia tugas cukup berat yang saya pikul pada PRU15 ini,” katanya. – UTUSAN