Kerepek Belinjo keluaran Belinjo Gold semakin diminati

Kerepek Belinjo keluaran Belinjo Gold semakin diminati

SITI Rohani Sadikun bersama salah satu mesin bagi menghasilkan produk Belinjo Gold.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’ Begitulah semangat kental seorang sabahat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang pada awalnya berniaga kerepek pisang di pasar malam namun kini bergelar usahawan berjaya.

Ibu tunggal, Siti Rohani Sadikun, 58, berkata, dia memperkenalkan produk makanan ringan berasaskan kerepek belinjau iaitu Belinjo Gold menerusi Syarikat Belinjo Gold Global pada Ogos 2020 dan ia beroperasi di Lot 15-19, Block C Kompleks Premis Usahawan SME Bank, Batu Pahat di sini.

Menurutnya, keistimewaan kerepek Belinjo Gold adalah menggabungkan bahan utama buah belinjau, bawang putih, halia, garam dan gula.

Katanya, belinjau yang dihantar ke kilangnya akan dijemur dengan bahan yang diadun selama 12 jam sebelum ia digoreng selama lapan hingga 15 minit.

“Belinjau memang berkhasiat termasuk mengandungi agen antioksida dan apabila ia diolah dengan bahan berkenaan menjadikan produk itu kurang berasa pahit berbanding kerepek belinjau asli serta lebih enak.

“Belinjo Gold boleh didapati di kilang kami mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang selain orang ramai boleh membuat pembelian di Shopee atau melayari laman web www.clickjom.info/belinjogold bagi maklumat lanjut.

Siti Rohani berkata, dia bersyukur kerana cahaya matanya termasuk anak sulung, Mohd Suffian Osman, 38; anak kedua, Sahri Osman, 36 dan anak bongsu, Abdul Rashid Osman, 28, sentiasa memberi semangat kepadanya dalam membantu memajukan perniagaannya.

“Kami faham ada saja individu yang memperlekeh peniaga kerepek dan melihat pontensi pembuatan dan penjualan produk berasaskan kerepek adalah remeh. Berkongsi kisah perniagaan kami, pada awalnya kami menjual kerepek pisang di pasar malam namun berdepan dengan kesulitan bagi mendapatkan bekalan bahan mentah secara konsisten serta pemprosesan juga rumit.

“Saya dan ahli keluarga membuat keputusan bagi memperkenalkan produk sampingan iaitu kerepek belinjau kurang pahit dan ia menerima sambutan luar biasa hingga kami berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka perusahaan ini. “Kami sentiasa berusaha bagi menambah baik produk termasuk daripada segi pembungkusan dan orang ramai boleh mendapatkan produk yang dibungkus dalam balang, kotak dan plastik mengikut kesesuaian masing-masing.

“Kami memiliki pelanggan tetap termasuk dari Singapura, Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya.
Siti Rohani berkata, syarikatnya dapat menghasilkan 6,000 balang setiap bulan dan mensasarkan nilai jualan RM1 juta pada tahun ini.

“Kami mengutamakan kualiti produk termasuk daripada segi cara pemprosesan, pembuatan, pembungkusan dan pemasaran supaya ia dapat memenuhi kepuasan dan citarasa pelanggan.

“Kami belajar daripada pengalaman dan sentiasa menambah baik produk berdasarkan maklumbalas daripada pelanggan.

“Bagi saya setiap usahawan seharusnya kental berdepan cabaran dan tidak mudah berputus asa.

“Sasaran kami adalah untuk menjadi usahawan kerepek belinjau nombor satu di negara ini sekaligus dapat mengeksport produk ini ke luar negara pada masa depan,” katanya.

Siti Rohani berkata, sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan, AIM sentiasa memberi motivasi selain menawarkan kemudahan pinjaman.
“AIM membolehkan golongan seperti kami menaik taraf kehidupan dan menjadi landasan terbaik membantu masyarakat miskin memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Walaupun bermula dengan sedikit tetapi saya yakin dan percaya kalau ada impian mahu maju, ada impian ingin berjaya,InsyaAllah bermula sedikit akhirnya kita akan berjaya di masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya