KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan ketiadaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam Kabinet sepanjang empat tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, sebab itu beliau sanggup turun padang sehingga ke Parlimen Titiwangsa untuk memberi sokongan kepada Johari selaku calon Barisan Nasional (BN).
“Sebab apa saya datang juga Keramat walaupun penat? Sebab saya nak bersama anak-anak Keramat untuk memastikan Johari menang.
“Kita perlukan pemimpin seperti Johari. Kabinet kerugian kerana tiada pemimpin pakar ekonomi seperti Johari.
“Namun, kita pastikan Johari menang dulu, kalau tak menang macam mana nak lantik. Pastikan Johari menang,” katanya ketika Jelajah Santai Anak-Anak Keramat di Titiwangsa hari ini.
Katanya, pengundi perlu bijak membuat perbandingan antara Johari dengan calon lain.
“Kita mesti buat perbandingan calon yang bertanding, calon mana yang diharapkan boleh berkhidmat kepada kita.
“Tak guna pilih calon, akhirnya sampai empat tahun tak jumpa kita, tak bantu kita. Kita nak calon boleh harapkan untuk membela kita.
“Bayangkan tak menang dalam PRU, tapi Johari empat tahun lebih menjaga tuan-tuan, puan-puan dan saudara saudari sekalian.
“Yang menang, hilang dan kalau calon parti tersebut menang lagi, hilang lagi. Yang rugi saudara saudari di Keramat,” katanya. – UTUSAN