Kenapa ‘rakan’ PH lain tidak pula isytihar harta - Khairy

Kenapa rakan PH lain tidak pula isytihar harta – Khairy

KHAIRY Jamaluddin mengadakan lawatan ke hospital semasa hadir untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Khairy Jamaluddin mempersoalkan kenapa ‘rakan’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pula mengisytiharkan harta melibatkan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya ujar beliau, parti-parti komponen dalam blok pembangkang itu hanya berdiam diri dan isu pengisytiharan harta tersebut cuma ‘kecoh’ dicanangkan PKR bagi semua calonnya.

“PKR hendak buat (pengisytiharan harta) terpulanglah malah tiada siapa suruh, tetapi saya agak pelik sebab rakan-rakan dia (PKR) tidak buat pula,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas Menteri Kesihatan itu melancarkan rasmi Pengoperasian Hospital Cyberjaya.

Awal minggu ini, laman sesawang rasmi PKR melaporkan aset bersih terkumpul sejumlah 80 calon ahli Parlimen parti itu sebagai syarat bertanding PRU15 sudah melebihi RM354 juta dan angka itu tidak termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelmarin mengesahkan keseluruhan aset bersih milik peribadinya termasuk simpanan berjumlah lebih RM11.1 juta.

Mengulas lanjut, Khairy berkata bahawa beliau memang tiada masalah untuk mengisytiharkan harta kerana ia amalan lazim untuk semua anggota pentadbiran Kabinet sejak dahulu lagi.

“Saya sendiri sudah isytihar dan rakyat boleh tengok di portal rasmi SPRM kerana apa disiar adalah telus dengan ada bukti sokongan lengkap dilampirkan untuk rujukan awam,” katanya.

Pengisytiharan harta calon ujarnya, bukanlah benda wajib dan beliau turut sependapat dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Pulau Pinang semalam berhubung isu tersebut, bahkan disokong Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menegaskan tiada keperluan berbuat demikian tetapi parti tersebut tidak menghalang sesiapa melakukannya.

Menyentuh peluang di Sungai Buloh, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu dalam nada merendah diri berkata, ia kubu kuat PH dengan undi majoriti besar setiap kali PRU, namun menyifatkan dirinya sebagai calon ‘underdog’ tetapi tidak mustahil mampu mencipta kejutan menumbangkan lawan pada PRU kali ini.

Kerusi kawasan bandar itu menyaksikan perlawanan sengit tujuh penjuru termasuk calon PH, Datuk R. Ramanan, selain Datuk Mohd. Ghazali Md. Hamin dari Perikatan Nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya