Kenapa nak bengang dengan A.Aida?

Kenapa nak bengang dengan A.Aida?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA penerbit terkemuka tanah air, Datuk A.Aida mengeluarkan kenyataan mengenai rupa paras yang tampan dan cantik wajar menjadi faktor utama untuk menempatkan diri dalam dunia seni, ramai yang melenting.

Kata mereka, kenyataan itu tidak seharusnya datang daripada seseorang yang mempunyai kerusi penting sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Tidak kurang yang menyogok pertanyaan, ‘Apa yang A.Aida fikirkan sampai tergamak berhujah begitu?’.

Cik Bunga pun pada awalnya tidak bersetuju dengan kenyataan penerbit tersebut. Namun, menarik nafas dalam-dalam dan cuba berfikir secara rasional, dari satu sudut, sebenarnya tidak salah apa yang dikatakan A.Aida itu.

Kenapa Cik Bunga cakap macam tu? Sebab orang kita sendiri hipokrit! Penonton kita pun hipokrit! Tapi nanti dulu, jangan marah. Cik Bunga bukan nak cari pasal dengan mereka yang memperjuangkan bakat seni.

Tetapi, cuba fikirkan semula, berapa ramai penonton yang benar-benar mahu melihat bakat artis semata-mata? Bab pertama yang akan diambil kira pastinya faktor luaran. Cantik atau tampan seseorang artis itu.

Kalau tidak berada dalam kategori cantik atau tampan, artis itu berbakat macam mana sekali pun, mungkin tidak ramai yang pandang. Bukan tidak pernah berlaku, malah jika disenaraikan, banyak nama yang Cik Bunga boleh beri sebagai contoh.

Pertumbuhan perjalanan kerjaya mereka secara ‘genuine’ mengambil masa yang agak lama untuk mencapai kedudukan selesa. Jadi, tidak salahi jika ada yang ambil jalan singka dengan buat kontroversi sikit. Hah, cepatlah orang perasan kelibat dalam industri.

Kalau tidak, terpaksalah berharap dan berdoa dibukakan jalan untuk meraih tawaran besar. Namun, tidak pula Cik Bunga menafikan, bakat lebih penting dalam menentukan sama ada mereka mampu bertahan atau hilang ditelan masa.

Bayangkan kalau tiada bakat, entah-entah, skrip yang dibaca pun tidak ada intonasi yang betul. Tiada reaksi wajah yang tepat. Disuruh melakonkan watak sedih, dia berikan pula reaksi kosong. Mana pengarah tidak mengamuk.

Jenuh juga pengarah, penerbit dan pelakon lain nak tolong ajar. Sudahnya, hanya menyusahkan seluruh tenaga produksi di set penggambaran. Bila sudah makan masa, penerbit pula melenting apabila kos meningkat.

Jadi, penting atau tidak kedua-duanya seimbang? Bakat dan rupa paras. Bagi Cik Bunga, wajar, malah ini yang seharusnya.Tidak boleh tidak, faktor luaran memang orang nak tengok sebagaii pelaris sesebuah naskhah.

Tidak perlulah tipu diri sendiri. Tidak ada orang yang tidak suka tengok sesuatu yang cantik.

Pun begitu, bakat turut diutamakan. Kalau selamanya penonton dididik hanya untuk menilai luaran, tidak mungkin perkara ini berlarutan diperdebatkan.

Bonus buat artis yang punya bakat dan cantik. Tetapi, jangan lupa, tuah dan rezeki juga memainkan peranan.Tidak semua orang bertuah dikurniakan pakej lengkap. Itu sebabnya industri penuh persaingan.

Kalau semua orang boleh jadi pelakon, siapa pula nak isi jawatan sebagai jurukamera, lightingman atau jaga bahagian props. Tak gitu?

Sesuai kena ‘bahan’ dengan Kilafairy

Banyak betul manusia bermata keranjang, tetapi bertopengkan agama semata-mata untuk membenarkan perbuatannya mengkritik orang lain.

Dalam hal ini, Cik Bunga tidak nafikan, golongan artis sering menjadi mangsa kecaman. Tidak suka dan sering mengutuk, tetapi tetap juga mengintai akaun artis tersebut. Kenapa tidak unfollow je?

Artis buat salah, memang satu hal. Tetapi, tidak perlulah kita menilai seolah-olah kita sudah terlalu sempurna dan tidak pernah buat salah.

Apabila pelakon dan penyanyi, Kilafairy menjadi ‘mangsa’ kritikan di media sosial gara-gara menyarung pakaian ikut bentuk tubuh, ramai yang komen seolah-olah mereka begitu sempurna di mata Tuhan.

Cik Bunga bukan hendak menyebelahi Kilafairy. Tetapi, Cik Bunga memang geram dengan komen yang melampau. Jadi, apabila Kilafairy membalas dengan pertanyaan ‘awak Tuhankah?’, Cik Bunga rasa memang sesuai.

Ada kala memang melampau netizen ini bila melontarkan komen. Tidak salah menegur, tetapi jangan sampai menyakiti hati orang lain.

Jangan asyik tuding jari apabila artis suka menerima teguran. Kita pula bagaimana? Bila nak terima nasihat dan teguran orang lain? Fikir-fikirkanlah..

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya