JOHOR BAHRU: Polis Johor mengaktifkan 87 Pasukan Cantas bagi memastikan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan lancar tanpa berlaku sebarang gangguan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan insiden yang tidak diingini berlaku seperti merosakkan poster, mengganggu kempen atau langgar permit ceramah.
“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan mengenai sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Kita harap perjalanan kempen berjalan lancar serta dalam keadaan aman dan tenang.
“Sebanyak 87 Pasukan Cantas yang digerakkan di seluruh negeri ini akan memastikan keadaan terkawal, malah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah untuk memantau kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya akan memudahkan perjalanan kempen setiap parti untuk mendapatkan permit mengadakan ceramah dan kempen.
“Kita akan memudahkan perjalanan kempen setiap parti, cuma perlu susun masa bagi mengelakkan pertembungan. Begitu juga sekiranya ceramah yang dibuat di lokasi berhampiran, itu kita tidak benarkan.
“Ini termasuklah berkempen menggunakan kenderaan, kalau boleh kita nak elakkan berlaku provokasi, tak elok untuk masyarakat kita,” katanya. – UTUSAN